KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dan pembekal makanan laut, Sendo Ichi Seafood menjalinkan kerjasama menganjurkan Festival Makanan Laut Jepun 2024 yang julung kali diadakan bagi mengetengahkan hasil terbaik dari laut Jepun.
Dalam kenyataan pada Jumaat, Jetro menjelaskan festival diadakan di Lalaport Bukit Bintang City Centre di sini mulai 26 hingga 28 Januari itu bertujuan memperkukuh hubungan kebudayaan dan perniagaan antara Jepun dan Malaysia.
Pengarah Urusan Jetro Kuala Lumpur, Koichi Takano berkata nilai eksport makanan dari Jepun ke Malaysia meningkat lebih tiga kali sejak lima tahun lepas.
“Kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengiktiraf dan menghargai kualiti dan rasa yang hanya boleh ditawarkan oleh makanan Jepun,” katanya semasa pelancaran media rasmi hari ini.
Acara itu bermula dengan pelancaran utama iaitu menyiang ikan tuna seberat 60 kilogram oleh chef terkemuka, Otsuka Kenji dari restoran Sushi Yoshi.
Festival Makanan Laut Jepun menyasr menjalinkan kesenian gastronomi Jepun dengan peminat kulinari menerusi kerjasama restoran dan rakan kongsi Jepun terbaik seperti Sushi Yoshi, HUT Sake Bar, Ten itsu dan Mochiya.
Pengurus Besar Sendo Ichi, Aldred Yaw berkata acara itu berperanan sebagai platform untuk memperkenalkan dan menyerlahkan keenakan makanan laut segar dan lestari yang diimport dari Jepun di samping mematuhi peraturan ketat semua standard pengendalian keselamatan makanan.
“Sebagai pihak yang berkait rapat dan bekerjasama dengan pelbagai pengeksport, pengeluar dan perunding makanan laut terkemuka di Jepun, kami dapat membawa yang terbaik daripada makanan laut Jepun ke pasaran Malaysia,” katanya,
Sebagai sebahagian daripada pengalaman interaktif, pengunjung festival boleh menikmati hasil Jepun, menguji pengetahuan mereka dalam kuiz dan diberi ganjaran sampel Maguro (tuna sirip biru), Kaki (tiram), Hotate (kekapis), Saba (sejenis ikan kembung) dan Hamachi (ikan aji-aji kuning).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial